Skip to main content

Fizik Perubatan

Fizik perubatan adalah satu cabang fizik yang menggabungkan aplikasi fizik dan kejuruteraan kepada bidang perubatan dan kesihatan. Unit Fizik Perubatan, Pusat Klinikal, IPPT dianggotai oleh 3 orang Pegawai Sains Fizik yang bertanggungjawab sepenuhnya di 3 unit iaitu Unit Radioterapi, Unit Perubatan Nuklear dan Unit Radiologi. Tanggungjawab utama unit ini adalah memastikan undang-undang dan peraturan-peraturan yang terkandung dalam Akta Perlesenan Tenaga Atom 1984 (Akta 304) dilaksanakan secara menyeluruh di peringkat Pusat Klinikal IPPT. Unit Fizik Perubatan bersedia memberi kepakaran dan perundingan dalam hal-hal berkaitan perlindungan sinaran, keselamatan radiasi, krisis dan bencana seperti kemalangan radiologikal di tempat kerja, spesifikasi peralatan pelindungan diri, pelupusan radas penyinaran dan sisa bahan radioaktif serta penganjuran pembelajaran secara berterusan (CME) berkaitan perlindungan sinaran dan Akta 304 kepada pekerja sinaran di Pusat Klinikal, IPPT.

Perkhidmatan

Unit ini bertanggungjawab mengurus dan memastikan Ujian Kawalan Mutu (QC) radas penyinaran yang berdaftar dalam lesen KKM dijalankan secara berkala setiap tahun dan keputusan ujian yang dilaksanakan menepati piawaian (standard) yang ditetapkan oleh KKM. Menguruskan dan memastikan setiap pekerja sinaran yang bedaftar menjalani pemeriksaan kesihatan secara berkala serta menyerahkan salinan APC dan CME setiap tahun untuk tujuan rekod. Menguruskan dan memastikan ujian kalibrasi peralatan fizik seperti meter tinjau dan dosimeter poket dijalankan oleh Agensi Nuklear Malaysia. Memberi khidmat nasihat kepada jabatan/pusat/unit dalam aspek perlindungan sinaran semasa bekerja.

Unit ini juga bertanggungjawab menyediakan dan melaksanakan Program Perlindungan Sinaran di peringkat Pusat Klinikal IPPT. Memberi khidmat kepakaran dalam hal ehwal pelupusan radas penyinaran dan bahan radioaktif mengikut prosedur dan kaedah yang betul serta pengawasan bahan sisa radioaktif diselia di unit yang terlibat. Bertindak sebagai Koordinator Krisis jika berlaku krisis dan bencana di Pusat Klinikal, IPPT seperti kemalangan radiologikal di tempat kerja, tumpahan sisa radioaktif dan sebagainya. Memastikan adanya komunikasi dan jaringan kerjasama antara semua unit yang memerlukan khidmat nasihat dan panduan daripada Pegawai Sains (Fizik) dalam memberi perkhidmatan kepakaran dan perundingan.

  • Last updated on .
  • Hits: 11402